Arctic Educational Expedition, 5 Julai – 20 Julai 2020

Students on Ice (SOI) adalah pemenang anugerah global dalam program pendidikan. Sejak tahun 1999, SOI telah membawa lebih daripada 2500 pelajar, saintis, pendidik, orang awam, artis, pemuzik dan pemimpin dari 52 negara di seluruh dunia menyertai ekspedisi pendidikan di wilayah Artik dan Antartika. Melalui program Students on Ice: Arctic Educational Expedition 2020 ini, pelajar Tingkatan 4 dan guru-guru dari negeri Terengganu berpeluang untuk mewakili negara mengikuti ekspedisi pendidikan ke wilayah Artik pada tahun 2020. Program ini ialah satu program antarabangsa yang telah dijalankan oleh YPASM sejak 2015 dengan kerjasama Students On Ice Foundation yang berpusat di Canada. 2 pelajar dan 1 orang guru yang terpilih akan bersama-sama lebih 100 orang pelajar antarabangsa dan petugas dari pelbagai negara mengikuti ekspedisi pelayaran Artik selama 15 hari ini. Para petugas akan diwakili oleh saintis, pelukis, pemuzik, ahli sejarah, komuniti tempatan Artik atau  Antartika dan ahli dari pelbagai bidang. Bermula dari proses pemilihan sehinggalah ke eskpedisi nanti, pelajar dan guru akan didedahkan kepada maklumat tentang hubungkait wilayah Polar dan tropika yang akan merangkumi elemen kefahaman asas pelajar tentang pengunaan sumber secara lestari, memahami dan meramal perubahan ekosistem bumi di samping mencari persediaan untuk penyelesaian kepada impak kesan ekonomi dan sosial melalui projek inovasi atau komuniti bertemakan teknologi hijau. Pelajar dan guru yang terpilih akan berpeluang menyaksikan sendiri kesan perubahan iklim kepada pencairan ais dan kesan kepada flora, fauna, ekonomi, politik dan sosial penduduk di wilayah Polar. Program ini secara keseluruhannya akan dapat menyentuh dan meningkatkan kefahaman peserta yang terlibat dalam pelbagai isu global dan tempatan melalui satu program utama. Antara isu yang terlibat:

  1. Perubahan Iklim;
  2. Pencemaran ;
  3. Pengunaan Sumber Secara LestarI;
  4. Kitar Semula dan Teknologi Hijau;
  5. Perubahan Ekosistem Bumi;
  6. dan pelbagai disiplin sains yang lain.

 

Maklumat Ekspedisi & Penajaan  

Pembiayaan ini meliputi kos keseluruhan ekspedisi bermula dari Kuala Lumpur termasuk semua penginapan, makanan dan termasuk kos perjalanan anda dari Terengganu ke Ottawa dan perjalanan pulang selepas tempoh ekspedisi. Pembiayaan ekspedisi ini akan dibiayai oleh YPASM melalui sumbangan Kerajaan Negeri Terengganu. Melalui penajaan ini, YPASM dapat menyediakan peluang kepada dua orang pelajar dan seorang guru dari Negeri Terengganu untuk menyertai program Students on Ice: Arctic Educational Expedition 2020.

 

 Kriteria Pemilihan Pelajar

  • Terbuka kepada guru-guru dan pelajar tingkatan 4 negeri Terengganu
  • Warganegara Malaysia, tinggal dan belajar di Malaysia.
  • Pelajar berumur 16 tahun (Tingkatan 4). Keutamaan akan diberikan kepada pelajar Sains.
  • Pelajar mesti memahami bahawa ini adalah ekspedisi pendidikan dan hendaklah komited untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam semua aspek program dan membantu apabila diperlukan.
  • Pengetahuan tentang isu-isu semasa perubahan iklim dan kaitannya dengan Malaysia
  • Kualiti kepimpinan dan mampu mengutarakan pendapat dan pandangan secara matang. Mempunyai ciri-ciri Duta Kecil Malaysia.
  • Kebolehan berbahasa dan menulis bahasa Inggeris dengan baik
  • Menunjukkan azam yang kuat untuk melaksanakan perubahan. (Pelajar dan Guru yang terpilih akan dilibatkan dalam pelbagai aktiviti pasca ekspedisi untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang isu perubahan iklim.

 

Kriteria Pemilihan Guru

  • Warganegara Malaysia, dan kini menetap di Terengganu
  • Guru mesti memahami bahawa ini adalah ekspedisi pendidikan dan hendaklah komited untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam semua aspek program dan membantu apabila diperlukan.
  • Guru mestilah mempunyai semangat yang dinamik, bersemangat dan boleh berinteraksi dengan kumpulan yang besar dari pelbagai latar belakang
  • Calon mestilah berkebolehan menyediakan panduan, membantu para pelajar dalam persekitaran asing serta bersama kakitangan SOI dalam program pendidikan harian dalam pelbagai peranan.
  • Calon mestilah bersedia untuk berkongsi pengalaman di SOI dengan masyarakat sebelum, semasa dan selepas ekspedisi.
  • Calon mestilah menunjukkan semangat untuk belajar, berkepimpinan serta ingin terlibat secara aktif dalam program pasca ekspedisi dalam usaha menyebarkan kesedaran tentang isu perubahan iklim.

 

Surat permohonan dan surat rujukan yang lengkap hendaklah di hantar melalui e-mel faiz@ypasm.my sebelum atau pada 17 Mac 2020.

Untuk makluman, setiap peserta dinasihatkan untuk menghantar borang permohonan sebelum tarikh akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan. Sebarang pertanyaan mengenai permohonan ini boleh menghubungi kami ditalian 03-2691 0651.